Peraturan

Semasa menjalani LI, para pelajar adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan universiti serta peraturan industri tersebut. Antara peraturannya:

  1. Kehadiran
    • Pelajar dikehendaki hadir ke industri pada setiap hari bekerja pada waktu yang ditetapkan.
    • Sekiranya pelajar tidak dapat hadir kerana kecemasan atau cuti sakit, pelajar dikehendaki menghubungi industri dengan segera. Serahkan surat cuti sakit yang diperolehi daripada hospital/klinik kerajaan atau klinik panel kepada industri.
    • Pelajar dikehendaki menghubungi pihak industri menerusi telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) sekiranya terpaksa sampai lewat kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan.
  2. Cuti
    • Sekiranya pelajar cuti kerana sakit atau cuti mengejut kerana sesuatu hal yang menimpa keluarga, sijil cuti hendaklah diserahkan kepada industri. Perkara ini perlu dimaklumkan dengan kadar segera kepada Penyelia Industri dan Pensyarah Penyelia. (3.2.1)
    • Sekiranya pelajar perlu mengambil cuti atas urusan penting, pelajar perlu mendapatkan kebenaran dahulu daripada industri dan perlu dimaklumkan kepada Penyelia Industri dan Pensyarah Penyelia.
    • Pelajar diwajibkan menghadiri sepenuhnya LI. Pelajar yang tidak dapat menghadiri dalam tempoh yang tidak melebihi empat (4) hari bekerja atas alasan kesihatan dan perubatan atau alasan lain yang dianggap munasabah oleh fakulti, pelajar tersebut disifatkan sebagai telah memenuhi keperluan LI. (3.2.4)
    • Pelajar yang tidak menghadiri LI lebih daripada empat (4) hari bekerja walaupun dengan alasan perubatan dan kesihatan atau alasan lain disifatkan sebagai tidak memenuhi syarat dan perlu mengulang LI sepenuhnya.
    • Perkara 3.2.1 hingga 3.2.4 tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Program LI Universiti.
    • Pelajar yang mengalami masalah kesihatan seperti kemalangan atau bersalin dan tidak dapat menjalani LI dinasihatkan supaya menangguhkan LI. Dalam kes tertentu Fakulti boleh bertindak menangguh Program LI seseorang pelajar.
  3. Penangguhan
    • Permohonan penangguhan hendaklah dibuat secara bertulis kepada universiti melalui fakulti.
    • Penangguhan tidak boleh melebihi tempoh tiga (3) semester dari tarikh berkuatkuasa penangguhan.
  4. Kes Gagal LI
    • Sekiranya pelajar disahkan gagal dalam LI oleh Senat, pelajar berkenaan dikehendaki mengulang keseluruhan LI tersebut.
    • Pelajar diberi peluang mengulangi LI sekali sahaja.
  5. Imbuhan
    • Pihak universiti tidak memberikan ganjaran atau imbuhan kepada para pelajar atau penyelia di industri tersebut. Pelajar juga tidak dibenarkan menuntut imbuhan dari industri di tempat mereka menjalani LI. Sebarang ganjaran atau imbuhan dari pihak industri adalah atas budi bicara industri tersebut. Segala perbelanjaan menjalani LI adalah di bawah tanggungan pelajar berkenaan.