• Home
  • Info@PuLaMI
  • Sejarah Penubuhan

Kenali Kami

Sekitar tahun 1997, Pusat Latihan Mengajar dan Industri dikenali sebagai Unit Latihan Mengajar (ULM) dan diketuai oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Abd. Latif Bin Haji Gapor. Sebelum ini Unit ini merupakan satu unit khas yang berada di bawah pengurusan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (sekarang dikenali sebagai Fakulti Pembangunan Manusia (FPM). Setelah beberapa tahun di bawah pengurusan FPM, Unit ini diletakkan di bawah pengurusan Pusat Asas Pendidikan dan dipantau terus oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada masa itu. Sepanjang berada di bawah Pusat Asas Pendidikan, beberapa orang ahli akademik telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai unit ini. Antaranya adalah YBhg. Prof. Dr. Sopia Bt Md Yassin, YBhg. Prof. Madya Dr. Bashah Bin Abu Bakar dan juga Dr. Mohmad Noor Bin Mohmad Taib.

Selaras dengan penstrukturan semula jabatan-jabatan di UPSI pada tahun 2008, ULM sekali lagi dipindahkan dan bergabung di bawah pengurusan Pusat Penjaminan Kualiti yang turut dinaik taraf menjadi Bahagian Pembangunan Akademik dan Kualiti (BPAQ). ULM diletakkan di bawah Unit Polisi & Kualiti serta dikenali sebagai Unit Latihan Amali dan Jalinan Industri (ULMJI) yang meletakkan Dr. Ikhsan Bin Othman sebagai Ketua Unit. Ketua Unit dibantu oleh seorang Penolong Pendaftar dan dua (2) orang Pembantu Tadbir sepenuh masa disamping seorang Pembantu Tadbir dari BPAQ.

Nama ULMJI sekali lagi ditukar pada 2009 menjadi Unit Latihan Mengajar dan Industri (ULMI). Unit ini bertanggungjawab mengurus dan menjalin hubungan profesional yang erat bersama pihak industri berkaitan seperti sekolah, institusi pendidikan, orgranisasi awam dan swasta bagi melancarkan pelaksanaan program latihan praktikal pelajar.

Selepas dua (2) tahun, Ketua Unit baharu telah dilantik iaitu Dr. Ahmad Jazimin bin Jusoh bagi menggantikan Dr. Ikhsan Bin Othman. Pada Mac 2012, ULMI telah dinaik taraf kepada sebuah Pusat yang dinamakan sebagai Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) yang beroperasi di Aras 3, Bangunan Canselori. Terkini, PuLaMI telah berpindah ke kampus baharu di Aras Bawah, Blok 9, Kampus Sultan Azlan Shah, Bandar Proton. Profesor Madya Dr. Nor'ashiqin binti Mohd Idrus telah dilantik sebagai Pengarah baharu pada Mac 2016 menggantikan Profesor Dr. Noor Shah Bin Hj. Saad.

PuLaMI pada ketika ini diketuai oleh seorang Pengarah, dua (2) orang Timbalan Pengarah, seorang Penolong Pendaftar Kanan lima (5) orang Pembantu Tadbir. PuLaMI mempunyai empat (4) unit yang setiap satunya dipertanggungjawabkan secara khusus untuk menguruskan Latihan Mengajar, Latihan Industri, Pentadbiran dan Kesetiausahaan, Kewangan dan Aset/Inventori serta Pengurusan Data dan PJJ.

PuLaMI berazam akan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kepuasan pelanggan kami selaras dengan misi dan visi Universiti untuk menjadi sebuah Universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.