• Home
  • Info@PuLaMI
  • Foreword

Foreword by Management

  • Saya mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, Laman Web Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) dapat dibangunkan dengan jayanya. Melalui laman web ini, pihak PuLaMI dapat menyalurkan maklumat yang semasa berkaitan dengan berita Latihan Mengajar dan Industri. 

    Laman Web PuLaMI merupakan alat untuk mencapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pengisian laman web ini harus berfokus untuk membolehkan guru pelatih mendapat maklumat yang holistik untuk menjadi individu yang berkembang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan kemudahan ini membolehkan semua pihak dapat mencari maklumat dengan cepat dan tidak membuang masa.

    Justeru, Laman Web PuLaMI diwujudkan selaras dengan perkembangan zaman globalisasi untuk generasi Y dan Z. Semua maklumat di serata dunia berada dihujung jari individu berdasarkan konsep maya. Pensyarah-pensyarah penyelia, guru-guru pelatih dan guru-guru pembimbing harus memanfaat web ini untuk membantu mereka dalam mencari maklumat penting berkaitan dengan latihan mengajar, internship kaunseling dan latihan industri.

    Dalam konteks latihan mengajar dan internship kaunseling, diharapkan bakal-bakal guru pelatih dapat memenuhi aspirasi kecemerlangan pengajaran berdasarkan pedagogi yang sesuai, menguasai isi kandungan bidang, bersikap profesionalisme dalam kerjaya keguruan dan mudah bersosialisasi dengan warga sekolah. Manakala dalam konteks Latihan Industri pula, diharap pelatih dapat mempamer sikap kerja yang baik dan komited. Melalui indikator-indikator ini pelatih/guru pelatih akan dipandang tinggi oleh pihak luar seterusnya mengangkat imej UPSI sebagai tradisi dalam mengasuh pelatih/guru pelatih yang berwibawa.

    Semoga visi UPSI untuk menjadikan universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global menjadi kenyataan berdasarkan perubahan-perubahan baik yang telah dilaksanakan oleh semua pihak. InsyaAllah.

    Sekian. Terima kasih.

    Profesor Madya Dr. Nor'Ashiqin Binti Mohd Idrus

    Pengarah Pusat Latihan Mengajar & Industri (PuLaMI)